SPONSOR

Saturday, January 30, 2016

Posted by RAIZA KHAIRINA 1:24 AM No comments


Cinta Buat Atikah
Oleh Raiza Khairina

ATIKAH baru saja selesai memasukkan baju-bajunya ke dalam beg. Sudah enam bulan dia berkhidmat di rumah besar ini sebagai jururawat peribadi kepada Puan Marina yang mengidap kanser paru-paru yang sangat kronik. Hari ini dia ingin pulang bercuti ke kampung. Sudah tergambar di ruang fikirannya betapa keluarga di kampung tidak sabar menanti kepulangannya.
            Sedang asyik Atirah meneliti barang-barangnya di atas katil, muncul Zulfan Effendi dari muka pintu. Wajahnya tidak seperti selalu yang tenang, damai dan terserlah keperibadiannya yang romantik dari kaca matanya. Tetapi, hari ini pandangannya penuh curiga. Amarah dan dendam terpancar dari anak matanya. Atirah hairan.
            “Awak nak pergi ke mana?” Zulfan Effendi menyoalnya seolah-olah dia melakukan kesalahan yang sangat berat.
            “Saya... saya hendak bercuti selama seminggu. Saya sudah beritahu Puan Marina dan puan mengizinkan saya bercuti.”
            “Asal awak tahu, ya. Mulai hari ini awak jangan balik lagi ke sini. Awak boleh bawa segala barang-barang awak dan keluar dari rumah ini hari ini juga.”
            “Tapi... apa salah saya Encik Zulfan?”
            “Awak jangan ingat aku tak tahu. Jangan nak berpura-pura depan aku. Selama ini awak pandai berpura-pura, kan? Dusta semuanya, kan?” bertubi-tubi tuduhan Zulfan Effendi menampar cuping telinganya. Berkerut-kerut dahi Atirah memikirkan perubahan sikap Zulfan Effindi yang mendadak itu.
            ‘Apa Zulfan cakap ni? Dia menuduh aku yang bukan-bukan!’ detik hatil kecil Atikah.
            “Encik Zulfan, sampai hati Encik tuduh saya macam tu. Saya tak seperti yang Encik Zulfan fikirkan.” Atirah memberanikan diri menentang anak mata majikannya itu.
            “Aku dah agak jawapan awak. Kalau dah buat salah siapa pun takkan nak mengaku. Sudah! Apa-apa pun alasan awak sudah tak bererti lagi. Awak tak diperlukan lagi di rumah ini. Aku dah sediakan wang gaji awak untuk bulan ini beserta bonusnya sekali. Awak boleh keluar sekarang. S.e.k.a.r.a.n.g.” Tengking Zulfan Effendi tanpa perasaan belas kasihan. Berombak dadanya menahan amarah terhadap jururawat sementara yang dilantik ibunya itu. Sehelai sampul coklat yang berisi wang dicampak ke atas katil.
            Deraian air mata yang mengalir di pipi Atikah tidak dipedulikan lagi. Dengan langkah longlai dan fikiran yang berserabut penuh dengan tandatanya dia meninggalkan banglo mewah itu menuju ke satu arah yang tidak pasti. Dia belum bersedia pulang ke kampung dalam keadaan yang berserabut itu.
Dia sendiri tidak minta untuk bekerja di rumah itu. Dia terima pun selepas ditawarkan oleh ketua jururawat di HKL selepas lulus ujian praktikalnya. Mengenangkan gaji yang lumayan, mampu membiayai kos pengajiannya dalam bidang perubatan di luar negara tidak lama lagi dia terima setulus hati. Tetapi, dia tidak menyangka akhirnya di halau keluar tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.
            Lama benar Atikah termangu-mangu sendirian di pinggir Tasik Titiwangsa sebelum membuat keputusan berangkat ke pudu raya menuju kampung halaman. Tiba-tiba perutnya berkeroncong minta diisi. Baru dia sedar sejak awal pagi tadi dia belum makan apa-apa. Asyik sangat melayan perasaan sedih yang hadir mengusik sukma. Sedih kerana dihalau dari rumah mewah yang selama ini memberi tempat tinggal dan kerja kepadanya.
            Dia berlalu dari tasik itu dengan berat hati. Terlalu banyak kenangan antara dia dengan Puan Marina di tasik itu. Setiap hari Selasa dan Sabtu dia dan Puan Marina akan datang ke situ untuk menikmati keindahan alam. Jiwa berasa damai berada di situ. Kini, tiada lagi suasana damai itu di sini. Dia akan pergi. Entah bila dapat mengunjungi tasik itu dia tidak pasti.
            Disembunyikan kegundahan hati di sebalik wajahnya yang ceria ketika melangkah masuk ke teratak usang keluarganya. Namun, tetap terngiang-ngiang kata-kata yang menyakitkan yang tidak masuk dek akal dari seulas bibir milik Zulfan Effendi.
            ‘Emak tak boleh tengok air mataku ini, jika tidak tentu dia sedih. Emak! Kalaulah bukan keranamu sudah lama aku tinggalkan pengajianku dan menjaga makan minummu di sini. Demi masa depanku aku turutkan juga hati. Engkaulah ratuku, sumber inspirasiku buat selamanya.’ Hati kecilnya berbicara. Sayu.
            “Asslamualaikum.”
            “Waalaikumsalam.” Salam dijawab. Atikah datang menerpa memeluk ibunya. Begitulah gelagat Atikah setiap kali bertemu dengan ibunya.
            “Mana yang lain? Tok Wan dengan ayah!” tanyanya tidak sabar ingin memeluk nenek kesayangannya.
            “Ayah dengan Tok Wan ke pekan. Malas mak nak ikut,” ujar ibunya kegirangan. Anak kesayangan berada di depan mata.
            Atikah memerhati ruang di dalam rumahnya. Tidak jauh berubah selepas meninggalkan rumah itu sebulan yang lalu. Rindu yang bersarang di dalam hatinya saat itu terubat kala menatap rumah yang kemas walaupun tanpa perabut mahal menghiasi ruang di segenap penjuru.
            “Kenapa balik tak beritahu, boleh mak masak sedap-sedap.”
            “Tak apalah mak. Ika balik ni pun buat selama-lamanya.” Dahi ibunya berkerut.
            “Maksud Ika... Ika dah tak kerja di rumah Untie Marlia tu lagi dah. Untie tu ada dekat hospital. Dia tak nak Ika jaga dia lagi sebab di hospital kan dah ada nurse. Ika ingat nak tolong mak ajelah. Banyak tempahan bulan ni mak?” Atikah menyambung kata.       “Boleh tahan jugaklah. Untung juga Ika balik. Kadang-kadang tak terkejar mak nak siapkan 10 pasang baju satu hari. Mana nak jahit sulam lagi, tulang belut lagi, labuci, maniklah itulah inilah... Tok Wan tu tahu berleter aje dia,” jawab ibunya panjang lebar.
            “Ika dah cakap dulu ambik seorang pekerja. Dapat tolong mak jahit labuci ke, tulang belut ke jadilah. Mak degil. Tengok dah kurus badan mak. Nanti sakit siapa yang susah.”
            “Tak apa. Anak mak kan nurse.”
            “Mak ni...,” ujar Atikah sambil memeluk mesra ibunya yang tercinta.
            Atikah merasa bertuah kerana bakat ibunya dalam bidang jahitan itu kini diwarisinya. Ibunya tidak pernah berkursus mahupun belajar menjahit. Kemahiran dan bakat itu datang seiring selepas tergerak hati untuk menambah pendapatan keluarga. Pantang ada majalah atau buku yang memuatkan selok-belok jahitan di pasaran terus dibelinya bahan-bahan bacaan itu.
Sejak akhir-akhir ini Zulfan Effendi menjadi tidak tenteram. Hatinya gelisah sentiasa. Apalagi mengenangkan ibu tercinta terlantar sakit di dalam wad hospital Puteri kerana penyakit kanser yang dideritai sejak sekian lama. Itupun diketahui selepas dia mencuri dengar perbualan ibunya dengan doktor pada suatu pagi minggu. Hatinya bertambah sakit apabila mengetahui Atikah juga turut mengetahui penyakit yang dideritai ibunya itu.
            Pada pendapatnya sebagai seorang anak dia sepatutnya lebih tahu perkembangan kesihatan ibunya. Banyak perkara yang diketahui oleh gadis itu. kenapa? Sedangkan Atikah bukan siapa-siapa dalam keluarganya. Persoalan itu sering berlegar di benaknya sehingga dia bertindak di luar kewarasan fikiran.
            Dia terkeliru. Tidak tahu kenapa ibu lebih mempercayai orang lain selain dia.
            ‘Ahh... salah ibu juga. Kalau sedari awal ibu beritahu tidaklah aku fikir yang bukan-bukan tentang Atikah.’ Hati Zulfan Effendi menjerit pilu.
            ‘Atikah! Kenapa akhir-akhir ini nama itu yang sering menjelma di ruang fikiranku?’ Jerit hatinya lagi.
            Dalam keadaan kepalanya yang berserabut dia cuba mendapatkan penjelasan dari mulut ibunya sendiri. Namun, melihat penderitaan yang ditanggung ibu tidak sampai hatinya meregut keriangan ibu tatkala menyambut kehadirannya setiap petang menziarahi wanita itu di hospital.
            Baginya, cukuplah papa seorang yang pergi mengadap Illahi meninggalkannya terkontang-kanting bersama ibu menempuh hidup yang beronak dan berliku sehingga berjaya menyekolahkannya sehingga ke peringkat tertinggi.
            Dia belum cukup kuat menghadapi pahit getir hidup sebagai anak yatim piatu. Dia tidak tahu sejauh manakah kekuatannya untuk meneruskan perjuangan papa yang berjaya menubuhkan syarikat pengiklanan di tengah kota metropolitan ini. Walaupun ibu berjaya mendidik dia dengan ilmu agama, namun sejauh mana kekuatan imannya dia tidak tahu. Dia kekurangan sesuatu. Namun, tidak pasti apa dia.
            “Mama! Cepatlah sembuh ma. Zul tak sanggup tengok mama menderita macam ni,” Zulfan Effendi mengucup lembut tangan ibunya setiap kali menziarahi ibunya itu. Direnung wajah pucat itu penuh kasih dan sayang.
            “Jangan menangis sayang. Mama tak apa-apa. Sikit hari lagi mama sihatlah.” Zulfan Effendi menggigit jari mendengar ucapan ibunya itu.
            “Mama, Zul sunyi tinggal sendirian di rumah kita. Cepatlah sembuh, ma. Zul tak sabar tengok mama happy macam dulu,” Zulfan Effendi merengek manja meraih perhatian ibunya.
            “Mana Atikah? Kenapa dia tak datang jengok mama selepas mama masuk hospital tempohari,” ujar Puan Marlia sambil mengesat air matanya sekali lalu.
            “Buat apa mama ingat dia? Zul kan ada!” terbit rasa cemburu di hatinya. Dalam waktu begitu ibunya masih mengingati Atikah. Tidak pula ditanya akan keadaannya. Sudah makan ke belum. Sihatkah dia? Ini sebaliknya pula. Terus ditanya tentang gadis yang baru cuba dilupainya itu.
            “Dia budak baik Zul. Mama berkenan sangat. Berbulan-bulan tinggal dengan kita mama dapat merasakan dia pengganti anak mama yang pergi bersama papa dulu.” Kata Puan Marlia hampir di cuping telinga Zulfan Effendi.
            Zulfan Effendi tersentak. Terkejut mendengar pengakuan ikhlas ibunya itu.
            “Maksud mama Munira adik Zul.” Mengangguk. “Adik kan dah tak ada. Dia aman di sana. Sudahlah mama bawalah berehat.”
            “Ya... dia memang sudah tak ada. Tapi, dia masih ada di sini Zul. Di sini.” Puan Marlia menarik tangan anak lelakinya meletakkan di dadanya.
            “Dialah satu-satunya anak perempuan mama. Bila Atikah hadir dalam keluarga kita terubat rindu mama pada Munira.” Rindu Puan Marlia pada anak perempuan dan suami yang terkorban dalam kemalangan beberapa tahun yang lalu tidak dapat disangkal lagi. Sampai bila-bila pun ingatan itu tidak akan luput. Mungkin juga sehingga ke nafas yang terakhir.
            “Mama nak sangat jumpa Atikah sebelum mama menutup mata. Ada sesuatu dalam diri Atikah yang buat hati mama terpaut. Percayalah dia perempuan yang anak mama cari selama ini.”
            Sekali lagi Zulfan Effendi tersentak.
            “Kamu belum jawab pertanyaan mama. Mana Atikah? Kenapa dia tak jengok mama di sini?”
            “Buat apa dia nak datang  sini. Dia berjaya mengambil hati mama tetapi tidak Zul. Dia tak jujur dengan kita. Sudahlah mama bayar gaji tinggi. Mama tak nampak perempuan materialistik macam tu.”
            “Kamu cakap apa ni Zulfan?” ujar Puan Marlia terbatuk-batuk. Namun, Zulfan Effendi tidak peduli semua itu. yang penting terlerai rasa kurang senang terhadap gadis itu.
            “Zul cakap apa yang benar.”
            “Mudahnya kamu bercakap. Kamu tak tahu dia macam mana. Kamu tu keluar pagi, balik malam, jarang balik awal ke rumah. Mama faham kerja kamu tapi takkanlah tak ada masa untuk mama. Sekalipun di hujung minggu jarang ada di rumah. Atikah layan mama dengan baik. Tidak pernah dia menyakiti hati mama,” ujar Puan Marlia tertahan-tahan menahan sebak di dada.
            “Cukuplah tu, ma. Mama kena banyak berehat.”
            “Mama belum habis cakap lagi, Zul. Dia anak untie Zubaidah, kawan mama. Untie Zubaidahlah yang rekemenkan Atikah pada mama.”
            “Tapi, apa yang dia dapat setelah dia tidak berlaku jujur pada Zul. Sanggup dia merahsiakan penyakit mama dari Zul. Mama terlampau percayakan orang lain dari anak mama sendiri,” Zulfan Effendi berasa lega setelah berjaya meluahkan rasa kurang senangnya terhadap Atikah.
            ‘Mama ada alasan tersendiri. Lambat laun kamu akan tahu juga.’ Bisik hati kecil Puan Marlia.
            “Mama tak peduli, mama nak kamu berbaik dengan Atikah. Bawa dia ke sini, Zul,” pesan Puan Marlia lagi.
            Bukan niat Zulfan Effendi untuk melukai hati ibunya. Sikap ibu yang sering mempertahankan Atikah buat hatinya cemburu.
            Selepas ibunya di beri ubat tidur, dia tidur dengan nyenyak sekali. Kesempatan yang ada itulah Zulfan Effendi kembali ke rumahnya.
            “Insyaallah Zul akan bawa dia ke mari,” ujar Zulfan Effendi sebelum berlalu meninggalkan ibunya terlantar di situ.
            Dahulu hatinya terpaut pada kejelitaan semulajadi milik Atikah. Gadis itu sopan santun dan kelembutannya berjaya meruntun jiwa kelelakiannya. Kini, sudah puas diusir pergi rasa aneh yang datang bertamu jauh di halaman hatinya. Namun, semakin dia lupakan semakin kuat ingatannya terhadap gadis itu.
            ‘Ah Atikah! Atikah! Lagi-lagi Atikah!’ Bisik hati Zulfan Effendi.
            Di rumah terdetik hatinya untuk meninjau bilik tetamu yang diduduki Atikah dahulu. Keadaannya tidak banyak berubah. Kemudian dia masuk ke dalam kamar ibunya pula. Hatinya terusik melihat bingkai gambar dia sekeluarga. Lebih-lebih lagi potret arwah papa yang tersergam indah di dinding. Sedikit sebanyak terbit perasaan terharu kerana saban waktu sudah pasti ibunya itu merindu kenangan bersama arwah.
            Bingkai gambar kecil yang diletak di atas meja bersebelahan katil ditelitinya. Gambar dia bersama arwah adik kesayangannya. Dia tersenyum melihat wajahnya. Betapa cutenya sewaktu dia masih kanak-kanak dahulu. Kehidupan mereka benar-benar bahagia. Namun, pelangi indah yang mewarnai kehidupan mereka sekeluarga hilang sekelip mata selepas adik dan papanya ditimpa kemalangan lima tahun yang lalu.
            Dibukanya laci meja kecil itu kalau-kalau masih ada album gambar yang disimpan ibunya. Di situ terdapat sebuah diari. Tidak terniat di hatinya untuk menceroboh barang peribadi milik ibunya. Namun, perasaan ingin tahu mengatasi segalanya.
            Maafkan mama Zul. Mama tak berniat nak merahsiakan penyakit mama dari pengetahuan Zul. Mama tak mahu Zul susah hati. Alhamdulillah hingga saat ini mama masih sihat tidak seperti ramalan doktor yang mengatakan hidup mama lebih kurang sebulan dua lagi.
10 APRIL
            Atikah, gadis yang baik. Baik budi bahasanya dan boleh menjadi pendengar yang baik. Kerana itulah aku tidak teragak-agak berkongsi rahsia derita ini. Dia mengerti seadanya. Malah rahsiaku tersimpan erat tanpa pengetahuan sesiapa pun jua.
25 APRIL
            Kalau tidak ada Atikah hidup ini tidak bererti lagi. Hadirnya Atikah hilang lenyap rinduku pada anak perempuan kesayanganku. Aku berharap sangat anakku Zul mendapat pasangan sebaik Atikah. Agar dia dapat melayari hidup dengan penuh kebahagiaan.
30 APRIL
            Zul, mama rasa hidup mama tidak lama lagi. Penat rasanya.... Mama berkenan sangat pada Atikah. Dia pandai mengambil hati mama. Menghiburkan hati mama bila saat mama rindu pada papa dan Munira. Segala makan minum mama dijaga dengan baik bila Zul tiada di sisi mama. Tidak lama lagi dia bakal melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan dan farmasi di negara seberang. Mama sedih andai benar-benar dia pergi tanpa sebarang ikatan silaturahim dengan keluarga kita. Akan tetapi mama tidak memaksa...
            ‘Pergi oversea? Biar betul! Aku dah menyakiti hatinya.’
            Dengan berpandukan alamat yang diberikan Pak Mat tukang kebun rumahnya Zulfan Effendi bertolak menuju ke kampung halaman Atikah yang terletak di Sepang malam itu juga. Bermalam di kondo mewah di Sepang tidak menjadi masalah kepadanya kerana pemilik kondo itu adalah kawan baiknya sendiri.
            “Assalamualaikum.”
            Salam dijawab di dalam hati. Atikah seperti mengenali pemilik suara itu. Saat dia berpaling mata bertentangan buat seketika. Seribu persoalan bermain di minda kala itu. Kaget dengan kedatangan Zulfan Effendi secara tiba-tiba itu.
            “Ika, jemput Zulfan naik ke atas, nak.” Laung Tok Wan dari ruang tamu.
            “Iye nek. Er... Encik Zulfan...”
            Zulfan Effendi tersenyum seolah-olah sedang mengejek Atikah yang sedang kebingungan itu.
            “Kenapa Encik Zulfan tersenyum begitu?” soal Atikah ingin tahu.
            “Mulai hari ini jangan berencik-encik lagi dengan saya. Panggil saja Zul, kan senang. Ika apa khabar?” Kata Zulfan Effendi sambil merenung wajah Atikah.
            “Baik. Jemputlah naik ke rumah Encik Zulfan..... er... Zul.” Pelawa Atikah masih malu-malu sama seperti mula-mula bertemu dengan Zulfan Effendi.
            Sesekali Atikah perasan Zulfan Effendi mencuri pandang ke arahnya. Namun, dia tidak mahu tahu apa yang dibincangkan oleh Zulfan Effendi dengan orang tuanya. Malahan bertanya khabar tentang kemunculan lelaki itu secara tiba-tiba pun tidak terlintas di ruang fikirannya. Selepas menghidangkan minuman dan sedikit kuih dia memohon diri beredar.
            Atikah kembali menuju ke belakang rumah. Memberi makan anak-anak ikan peliharaan Tok Wan menjadi hobi masa lapangnya. Dia berasa seronok melihat ikan yang pelbagai warna itu berenang bebas di dalam air.
            “Ika... saya nak minta maaf atas keterlanjuran kata-kata saya tempohari.” Atikah tersentak lagi. Teguran Zulfan Effendi itu menyedarkannya dari lamunan.
            “Emm... Zul tak salah apa-apa dengan Ika. Ika dah lama lupakannya.”
            “Ika... cantik kampung halaman awak. Dah lama saya teringin menikmati suasana kampung macam ni.”
            “Suasana kampung tak sama macam di bandar. Di bandar ada saja perubahan suasana. Sekelip mata suasana tenang tu boleh berubah jadi ribut petir.” Dahi Zulfan Effendi berkerut seribu seolah-olah memahami sindiran Atikah itu.
            “Mama... mama nak sangat jumpa Ika.” Zulfan Effendi mengubah topik perbualan dengan harapan segala perancangannya berjalan lancar.
            “Er... masalahnya tak lama lagi saya nak...”
 “Saya dah tahu tak lama lagi awak akan ke Oversea. So, masih ada kesempatan jumpa mama.”
            “Tapi...”
            “Sekurang-kurangnya fikirkanlah tentang mama. Saya harap awak bersiaplah dengan kadar segera.” Kali ini kehendak Zulfan Effendi berbentuk arahan pula.
            “Er... Zul.”
            “Jangan terkejut saya dah minta izin orang tua awak untuk bawa awak ke KL esok.”
            Whats?”
            “Saya nak awak tahu saya cintakan awak,” ujar Zulfan Effendi sebelum berlalu. Terdiam Atikah dibuatnya. Renungan mata mereka menaut rasa aneh yang hanya mereka berdua saja yang mengerti.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TERSIAR di penulisan2u.my

http://www.penulisan2u.my/2010/04/cerpen-cinta-buat-atikah/

0 comments:

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter