SPONSOR

Saturday, January 30, 2016

Posted by RAIZA KHAIRINA 1:19 AM No comments


Yang Tersia
Oleh Raiza Khairina

DALAM keheningan malam tanpa bintang, tanpa bulan yang menerangi alam, Suhana memandu pulang ke kampung halaman. Hujan renyai-renyai yang mengiringinya sepanjang perjalanan tidak dihiraukan. Yang penting baginya saat itu selamat sampai ke destinasi yang sudah agak lama tidak dikunjunginya.
            Dua jam yang lalu sudah puas dia menangis. Dia bertekad tidak mahu membazirkan air matanya lagi. Namun, sekuat manakah dia menahan derita yang ditanggung gara-gara seorang suami yang tidak berlaku adil kepadanya?
            Sesekali tangannya meraba perut yang sedang membuncit mengandungkan anaknya yang kedua. Sesekali mata dikalihkan ke belakang melihat anak sulung yang tidur mengerekot di dalam selimut.
            Apalah si kecil ini tahu? Malang betul nasibmu, nak. Ada ayah yang tidak berhati perut. Desis hati kecilnya.
            Hampir empat jam memandu, akhirnya Suhana selamat sampai di perkarangan rumah batu separuh papan milik orang tuanya. Waktu itu jam sudah menunjukkan hampir pukul satu pagi.
            Ketukan yang bertalu-talu di pintu mengejutkan penghuni rumah yang sedang enak tidur diulit mimpi.
            “Masya-Allah, Ana! Apa dah jadi ni, nak? Kenapa nak, balik tak beritahu mak?” tanya Hajah Zainab bertalu-talu. Terkejut dia melihat keadaan anak perempuannya itu.
            Saat itu Suhana tidak ada jawapan untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh ibunya. Air mata yang bergenangan tidak mampu ditahannya lagi. Gugur jua membasahi pipinya.
            Isyarat itu sudah cukup menggambarkan kesedihan yang dialami anak perempuannya itu. Apatah lagi kepulangan Suhana tanpa suami di sisi, menjadi tanda tanya dibenaknya.
            Sepanjang dua bulan kembali ke kampung halaman, Suhana lebih banyak mendiamkan diri. Pernah sekali Hajah Zainab memberitahu menantunya akan keberadaan Suhana di kampung. Namun, panggilan itu disambut oleh seorang perempuan. Acuh tidak acuh sahaja perempuan itu melayan setiap bicaranya. Naik radang juga dia. Namun, setelah dinasihati oleh anak-anaknya yang lain dia tidak lagi menelefon menantunya yang tidak bertanggungjawab itu.
            Jauh di sudut hatinya, Hajah Zainab kecewa dengan sikap menantu yang hanya mementingkan dirinya saja. Seorang isteri saja tidak mampu berlaku adil inikan pula dua isteri. Sudah tentulah isteri pertama iaitu anak perempuannya sendiri yang lebih makan hati.
            Setelah genap sembilan bulan 10 hari mengandung, akhirnya Suhana selamat melahirkan bayi perempuan yang sangat comel. Bayi yang baru lahir seberat 2.9 kg itu diazankan oleh adik bongsu Suhana. Tanda tanya bermain di benak Shamsul, kelibat abang iparnya tidak pernah kelihatan. Bahkan saat-saat genting kakaknya hendak melahirkan bayangnya pun tidak nampak.
            “Suami jenis apa ini. Anak-anak di kampung tidak dipedulikan,” rungut Shamsul di suatu pagi.
            “Sudahlah Sham. Faham-faham ajelah. Kamu bukan tidak tahu sikap abang ipar kamu tu.”
            “Kalau diikutkan hati yang tengah marah ni mahu saja Sham pergi KL tu bawa dia balik ke sini.”
            “Sudah-sudahlah Sham. Dengar dek kakak kamu tu kecik pulak hati dia.” Hajah Zainab menenangkan anak lelakinya.
            “Macam mana boleh sabar mak. Anak isteri dia tanggungjawab dia.”
            “Abang ipar kamu tu dah beristeri lain. Mungkin juga ada masalah di pihak isteri baru dia mana kita tahu, kan.” Duga Hajah Zainab.
            “Habis tu Kak Ana bukan isteri dia?” Hajah Zainab terdiam. Shamsul benar-benar marah. Hajah Zainab tidak tahu dengan cara yang bagaimana lagi hendak menenangkan hati anak bujangnya itu.
            “Apa punya abang ipar. Beristeri dua tahu, nak berlaku adil tak tahu pula.” Shamsul masih merengus geram.
            Suhana yang mendengar, tersayat pilu hatinya. Entah ke berapa kali air matanya menitis. Tambahan pula tidak ada siapa yang tahu dia kini memegang status janda muda beranak dua. Hisham bekas suaminya itu telah menjatuhkan talak satu ke atas dirinya gara-gara didesak isteri muda.
            “Ana dah diceraikan, mak. Sebaik Ana melahirkan anaknya ini, jatuhlah talak ke atas Ana!” tanpa disangka kedua beranak itu tersembul wajah Suhana di muka pintu menerangkan statusnya kini.
            Shamsul bangun dari kerusi makan sambil mendengus marah. Hajah Zainab menerpa ke arah anak perempuannya sambil menitiskan air mata kecewa.
            Dua bulan berlalu, Suhana sudah selesai berpantang. Hajah Zainab pula tidak lagi menelefon menantunya mengkhabarkan keadaan anak-anak dan isteri di kampung. Sesungguhnya dia redha jodoh Suhana dengan Hisham tidak berpanjangan.
            Suhana mencari-cari akal apalah yang patut dilakukan untuk mencari pendapatan. Hidup mesti diteruskan. Sementelah lagi anak-anak memerlukan perhatian dan perbelanjaan yang bukan sedikit. Terlintas dibenaknya untuk melakukan sesuatu demi untuk meneruskan kehidupan mereka tiga beranak.
            “Sampai bila kau nak macam ni, nak? Kehidupan kau masih panjang. Tengoklah anak-anak kau yang masih kecil, mereka perlu hidup.” Hajah Zainab bersuara lembut.
            “Ana dah fikir masak-masak nak mohon jadi guru sandaran di sekolah rendah di kampung kita ni. Ana ada kelulusan dalam bidang pendidikan komunikasi massa. Manalah tahu ada peluang untuk Ana nanti,” ujar Suhana sebaik saja menidurkan anak-anaknya pada suatu malam yang dingin.
            “Baguslah tu Ana. Mak doakan mudah-mudahan kau berjaya mendapatkan pekerjaan itu nanti. Mak pun dah tak larat tengok kau anak beranak macam ni. Kasihan cucu-cucu mak,” jawab Hajah Zainab sambil membelai cucu-cucunya itu.
            “Ya! Ana akan bangkit demi anak-anak Ana. Mak doakanlah ya.”  
            “Itulah yang mak nak dengar. Walau apa pun yang berlaku, hidup mesti diteruskan.” Terasa lega hati tuanya melihat ketabahan yang dimiliki anak perempuannya itu.
            ‘Ya Allah, ampunkanlah aku. Maafkanlah aku kerana sering meminta-minta kepadamu. Aku redho dengan ujian yang telah Kau berikan kepada anak perempuanku ini. Bimbinglah dia, berikan dia kekuatan agar dia dapat melalui hidup ini dengan setabah mungkin. Ya Allah, Ya Tuhanku yang bersifat pemurah dan penyayang, aku sangat-sangat bermohon dari-Mu agar berikanlah jalan penyelesaian buatnya.’ Rintih Hajah Zainab di suatu pagi yang dingin di mana suasana di luar masih lagi gelap gelita. Dia perlu menyediakan sarapan untuk keluarganya. Sekejap lagi anak-anaknya akan menjalankan kewajipan mencari rezeki buat melengkapkan kehidupan. Cucu-cucunya juga perlukan perhatian dia, sementara ibu mereka keluar mencari kerja.
            Terharu Suhana dengan sikap ibunya yang terlalu mengambil berat akan dirinya dan anak-anak. Jika tanpa ibunya sendiri, dia juga tidak sekuat ini untuk terus berdiri demi anak-anak.
            Sudah beberapa kali ibunya menerima beberapa lamaran. Tapi apabila mengenangkan anak-anak yang masih kecil dia tidak mahu. Kini yang menjadi keutamaan adalah anak-anak. Sudahlah tidak mendapat perhatian dan kasih sayang ayahnya, nanti lebih teraniaya lagi. Biarlah, dia tidak mahu mengecewakan anak-anaknya lagi.
            Suatu pagi posmen bermotor merah melewati rumah batu separuh papan itu dan menghulurkan sepucuk surat kepada Suhana. Alangkah gembiranya dia sebaik membaca isi surat itu. Dia diterima bekerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung mereka.
            Begitulah rezeki ayam nampak di kaki, rezeki manusia siapa tahu.
            “Alhamdulillah mak. Dapat juga kerja tu. Lepas ni kalau boleh Ana nak cari seorang pembantu untuk membantu mak di rumah ni,” ujar Suhana dalam nada gembira.
            “Tak usahlah Ana. Mak boleh jaga cucu-cucu mak. Lagipun mak bukannya banyak kerja di rumah ni. Ada cucu-cucu mak tu taklah mak berasa sunyi.” Memang sejak dulu lagi Hajah Zainab mengimpikan suasana meriah seperti ini. Anak-anak berada dekat dengannya.
            “Terima kasih mak.” Lantas Suhana memeluk erat ibu kesayangannya itu. Seandainya arwah ayahnya masih ada tentu berbangga dengannya kerana dalam usia emas ibunya itu dia berada dekat dengan ibunya.
            Terasa olehnya betapa Maha adilnya Allah itu. Setelah diuji dengan penderitaan hidup kini dia dianugerahi rezeki iaitu pekerjaan yang menjamin masa depannya. Hanya Tuhan saja tempatnya meminta dan Allah tidak mensia-siakan doa orang yang berdoa. Yang penting terus berusaha.
            Tiba-tiba sebuah kereta proton waja berhenti di halaman. Seorang anak muda yang segak berpakaian pejabat keluar dari perut kereta.
            Ketika itu barulah Suhana sedar, hari sudah beransur petang. Daun-daun kering yang bertebaran di halaman sempat dikumpul untuk dibakar.
            “Assalamualaikum, mak dan Kak Ana,” Shamsul memberi salam. Suhana dan ibunya menjawab serentak.
            “Ini ada buah tangan sikit. Sham singgah di pasar raya Kita sebelum balik tadi.” Beg plastik yang di bawa Shamsul bertukar tangan.
            “Alhamdulillah, mak nak masak istimewa malam ni,” sambut Hajah Zainab sambil mengukir senyuman gembira.
            “Bunyi macam ada sesuatu yang gembira. Tadi Sham nampak bukan main lagi gembira Kak Ana dengan mak bercerita. Ada apa-apa berita gembirakah?” soal Shamsul.
            “Kak Ana kamu dah dapat kerja. Awal bulan depan barulah dia mula kerja,” jawab Hajah Zainab sambil mengerling memandang wajah Suhana yang kelihatan riang.
            “Alhamdulillah. Sham pun ada berita untuk akak.”
            “Berita apa?” soal Suhana.
            Shamsul menunjukkan muka dua surat khabar Harian Metro.
            “Ni hah kak. Abang Hisham kena tangkap sebab ada kes pecah amanah,” tunjuk Shamsul.
            “Itulah balasan dari Allah untuk dia. Itulah, abai sangat dengan tanggungjawab. Tengok apa dah jadi,” tercetus dari mulut Suhana.
            “Mudah-mudahan dia tersedar dengan kesilapan yang dia buat ye, kak,” kata Shahsul lagi.
            “Biarlah dia sedar, biarlah dengan kehidupan dia, akak dah tak mahu lagi. Cukuplah dikatakan akak perosak rumahtangga orang pulak,” Suhana meluahkan rasa hatinya.
            Setahu Shamsul, kakaknya itu yang teraniaya. Isteri kedua abang iparnya itulah yang patut digelar perosak rumahtangga orang. Selepas bisnes yang diusahakan bersama kakaknya dulu bankrap, kini isteri barunya itu meninggalkan dia. Bila buku bertemu ruas baru Hisham sedar langit itu tinggi ke rendah.
            Hisham mendapat balasannya. Setimpal dengan perbuatan dia yang mengabaikan keluarga. Apa yang Shamsul tahu semua perkara berkaitan bekas abang iparnya itu melalui kawan rapatnya juga.

0 comments:

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter