SPONSOR

Wednesday, July 11, 2012

Posted by RAIZA KHAIRINA 8:19 PM No comments

Redup matanya memandang kehijauan gunung di puncak sana. Damai jiwanya menikmati petang yang indah dari kamar tidur yang menghadap ke arah sana. Perlahan-lahan matanya dipejamkan daripada menghayati keindahan ciptaan Tuhan.
            Syuhada kembali memikirkan kata-kata temannya yang sudi menemaninya ke bandar untuk mengepos surat permohonan melanjutkan pelajaran di kolej swasta di bandar. Ibu dan ayahnya tidak keberatan melepaskan dia pergi menimba ilmu. Yang penting, dia pandai membawa diri dan menjaga maruah keluarga.
            “Apa benar kau nak melanjutkan pelajaran?” tanya kawannya itu lagi.
            “Ya, kenapa? Tak percaya?” jawab Syuhada yang senang membahasakan diri Shasha. Nama kegemaran ahli keluarganya semenjak dia kecil lagi.
            “Aku bukannya tak percaya. Tapi…”
            “Tapi apa?” tanya Syuhada sambil tersenyum.
            “Kau nak tinggalkan aku di sini?”
Meledak ketawa Syuhada memecah keheningan pagi.
            “Ada pulak kau ni. Untuk pengetahuan kau, di mana saja aku berada, kau sentiasa dalam ingatan. Kau sahabatku yang terbaik,” ujar Syuhada sambil memeluk lembut bahu teman baiknya itu.
            “Lagi satu. Kau ambil bidang penulisan, aku seperti tak percaya. Masa sekolah dulu aku tak nampak bakat yang kau ada. Menyerlah pun tak…,” kata kawannya itu, Insyirah.
            “Dulu lain sekarang lain, Syira. Aku dah lama menulis. Dah banyak hasil tulisanku jadi koleksi peribadi. Bila difikirkan balik, aku rasa rugi sia-siakan bakat dan minat yang ada.”
Syuhada menguntum senyuman gembira kerana Tuhan membuka pintu hatinya untuk menyambung pelajaran. Sekurang-kurangnya, ibu dan ayah sentiasa memberi sokongan.
            “Aku tabik kau, Shasha. Sejak kecil aku kenal kau, prinsip kau tak pernah berubah. Selamba aje kau tolak salam perkenalan setiap lelaki. Aku jadi cemburu pula.” Insyirah meluahkan rasa hatinya.

            Syuhada hanya mampu meledakkan tawanya. Sedikit sebanyak hatinya terusik dengan kenyataan yang baru dibuat oleh Insyirah itu. Malah, dia langsung tidak menyangka sikap kesederhanaannya itu mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan teman-teman persekolahan. Lebih-lebih lagi pelajar lelaki yang menaruh hati kepadanya. Ada saja kata-kata nista yang dilemparkan kepadanya. Namun, dia tetap bersabar. Tidak pernah ambil peduli tentang cakap-cakap orang. Serta-merta terlayang kenangan indah di ruang mindanya.
            “Kau jangan sombong sangat, Shasha.”
            “Apa? Kau tuduh aku sombong? Muka aku ni nampak macam orang sombong ke?” Berubah air muka Syuhada apabila dituduh sombong oleh ketua pengawas sekolah yang amat dikaguminya.
            “Memang nampak! Bukan setakat sombong, garang pulak tu. Kalau macam nilah perangai kau, sampai ke tua tak berlaki,” ujar Aliff Haikal dalam nada mengejek.
            “Ah! Kau saja nak sakitkan hati aku, kan? Maklumlah kau tu pendengki. Tak boleh tengok orang senang,” kata Syuhada lagi. Dia tahu benar Aliff Haikal selalu mengirim ucapan salam perkenalan melalui teman rapatnya. Sayangnya, salam perkenalan itu tidak pernah disambut. Berlalu dibawa angin lalu. Dia juga memahami hati Aliff Haikal yang kecewa dengan sikapnya itu.
            “Kalau tak sombong, tentu dah lama kau sambut salam perkenalan aku.” Selamba Aliff Haikal meluahkan perasaannya.
            “Argh… malas aku nak layan perangai kau ni. Buat semak kepala aku aje,” balas Syuhada.
            “Kan betul cakap aku. Tak habis-habis jual mahal.”
            “Hei, cik abang! Umur setahun jagung jangan mimpi nak ajak aku bercinta. Belajar dulu sampai ke menara gading. Tamat belajar nak bercinta, bercintalah. Tak ada salahnya lagi dah.” Lancar sungguh Syuhada menasihati Aliff Haikal. Kelihatan Aliff Haikal terkedu mendengar hujah yang disampaikan Syuhada itu.
            Mana mungkin Syuhada melupakan peristiwa itu. Seolah-olah enam tahun dirasakan baru enam hari yang lalu. Jelas segar di ruang ingatan hingga saat dia meraih kerjaya di jabatan penerangan.
            Syuhada akui, dalam bab berkawan dia cukup bertegas. Selagi tidak melanggar etika pergaulan dan prinsip hidup yang dipertahankan, dia menerima sesiapa saja yang sudi menjalinkan persahabatan. Tidak lebih sekadar kawan biasa.
            Syuhada sedar alam percintaan sememangnya indah. Lebih indah jika disulami  kejujuran, persefahaman dan keserasian. Namun, jauh di sudut hatinya, Syuhada tidak mahu leka diulit keindahan yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan di kemudian hari. Oleh sebab itulah dia lebih suka menanam azam untuk membina kerjaya terlebih dahulu. Berbakti kepada orang tua yang sudah banyak berkorban demi masa depannya.
            Di tepi jendela inilah dia sering melayan perasaan. Di sini jualah dia mengisi kesepian dengan tidak jemu-jemu berkarya. Adakalanya memori indah di alam persekolahan bertamu mengisi kesunyian hatinya. Baik pada hujung minggu mahupun sekembalinya dari tempat kerja, dia tetap setia menghayati keajaiban Tuhan.
Semenjak akhir-akhir ini, Syuhada bungkam. Tertekan kerana cerpen yang dihantar ke majalah kesayangannya tidak lagi tersiar. Dia bingung ke mana kesudahannya cita-cita yang diimpikan selama ini. Bukan satu dua karya ciptaannya tidak dilayan, Sudah lebih lima cerpen. Surat tawaran belajar di ASWARA dipandang sepi. Perlahan-lahan membunuh keasyikannya selama ini berkarya. Tiada lagi kepuasan. Dia kecewa. Kecewa kerana penat lelah mengarang tidak lagi dihargai.
            Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut rambutnya yang ikal. Perlahan-lahan dia menutup jendela kamar apabila menyedari malam sudah menutupi alam.
‘Duhai hati. Bersabarlah menempuh cabaran hidup ini,’ bisik hati Syuhada sebelum lena diulit mimpi indah.
            Ramadan al-Mubarak menjelma lagi. Syuhada menyambutnya dengan penuh tawaduk dan keinsafan yang menggigit sanubari. Aidilfitri kali ini dia menyambutnya dengan penuh debaran di hati. Hatinya bimbang kerana dia telah berjanji pada abah dan mak dan juga pada dirinya sendiri. Antara cinta dan cita-cita, pilih satu daripadanya. Sudah tentulah dia memilih untuk memenuhi impian hatinya. Apa lagi kalau bukan berjaya dalam bidang penulisan. Kali ini dia memilih untuk menuntut di maktab perguruan pula. Tawaran memasuki ASWARA sudah lama dipandang sepi. Dia yakin benar profesyen perguruan tidak menghalangnya untuk terus berkarya.
            Pendapat abah pula berbeza dengan pendiriannya. Syuhada patut menerima saja lamaran yang datang baru-baru ini. Pemuda yang sering menemani mimpinya selama ini. Pemuda itulah juga yang pernah dinasihatinya agar berjaya dahulu dalam pelajaran. Kini pemuda pujaan hatinya itu sudah berjaya dalam kerjaya yang dipilihnya. Baru sebentar tadi dia menatap kad ucapan Selamat Rari Raya daripada si dia. Kala itu juga menjelma perasaan aneh di hatinya.
Selesai solat sunat Aidilfitri, Syuhada dan keluarganya menziarahi pusara          menghadiahkan sepotong doa dan al-Fatihah untuk arwah datuk dan nenek yang sudah lama tiada. Namun, tetap terpahat kukuh ingatan terhadap mereka berdua. Selepas itu terus pulang ke rumah untuk melayani tetamu yang datang. Tahun ini mereka sekeluarga menyambut kedatangan sanak saudara yang datang dari jauh. Tanpa sedar dia tidak tahu makna kunjungan mereka kali ini.
Beberapa hari selepas itu barulah Syuhada sedar sebaik menerima kunjungan yang tidak disangka-sangka dengan pemuda pujaan hati. 
“Tak sangka, ya. Rupa-rupanya antara kita selama ini ada ikatan saudara yang jauh. Tapi… sayang tiada kesempatan untuk saling mengenali dengan lebih dekat.” Lelaki itu memulakan perbualan terlebih dulu. Syuhada yang sejak tadi hanya menunduk, tidak berani mengangkat wajahnya. Kalau tidak kerana desakan abah dan mak untuk berada di ruang tamu pada hari itu, dia tidak mungkin keluar bersua muka dengan anak saudara biras emaknya. Baru hari itu dia tahu kedudukan mereka.
Syuhada juga ada mencuri dengar perbualan mak ciknya dengan orang tuanya yang ingin merapatkan lagi hubungan persaudaraan.
“Hai, dinding! Cakaplah. Sejak bila pula dah jadi bisu ni?” Mata lelaki itu, terkebil-kebil memandang dinding ruang tamu.
Syuhada tersentak. Dia mengangkat sedikit mukanya. Sekilas dipandang wajah lelaki di hadapannya. Tampan. Lebih kacak dengan berkumis nipis. Tidak seperti enam tahun lalu. Kelihatan keanak-anakan. Hari ini lebih terserlah kematangan. Mungkin kerana sudah pandai berdikari, fikirnya dalam hati.
Syuhada memberanikan diri menatap wajah lelaki di depannya itu. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Cuma seulas senyuman manis saja yang mampu terukir di bibir. Keheningan mula menjengah suasana. Lambat-lambat dia menuturkan kata. Terasa janggal pula apabila direnung tajam seperti itu.
“Lama Aliff bercuti? Apa cerita tempat kerja baru? Seronok ke?” berjela-jela pertanyaan Syuhada kepada lelaki itu. Dia menggerutu dalam hati.
“Lama tu taklah lama, seminggu aje. Tiga hari di sini, tiga hari di KL,” jawab Aliff Haikal sambil matanya tidak lepas memandang wajah Syuhada yang sudah banyak berubah. Lebih manis. Sejuk matanya memandang. Lebih-lebih lagi pandangannya jatuh pada seulas bibir yang merah merekah tanpa secalit gincu itu. Menawan.
Syuhada tidak senang duduk.
“Jemputlah minum. Dah sejuk airnya tu,” kata Syuhada.
“Memanglah air tu sejuk. Kan tadi aku buatkan jus oren. Tengah hari buta ni takkanlah minum minuman panas pulak. Syuhada membebel dalam hati.
“Seronok memanglah seronok. Lagi seronok kalau tiap-tiap hari ada Syuhada di depan mata Aliff.”
Merah padam muka Syuhada menahan malu.
‘Apa hal mamat ni merepek yang bukan-bukan pula. Buat malu aku aje.’ Hatinya berbisik lagi.
“Iyah! Aliff rasa puas sebab dapat penuhi cita-cita Aliff untuk jadi arkitek. Sejak lama dulu menjadi angan-angan Aliff. Sekarang untuk lengkapkan hidup Aliff, Aliff nak lamar Syuhada untuk jadi suri hidup Aliff. Temani Aliff untuk selama-lamanya. Syuhada cuma perlu nyatakan persetujuan kalau Syuhada setuju. Kalau sebaliknya, Aliff terima dengan senang hati. Aliff tak nak memaksa.” Bergetar nada suara Aliff Haikal menyambung bicara.
Berdegup kencang dada Syuhada. Bertambah merah muka Syuhada menahan malu. Belum pernah dia berada dalam situasi seperti itu. Kesudahannya dia memohon diri untuk beredar ke dalam. Dia hilang punca untuk menjawab pertanyaan Aliff Haikal. Dia tidak mahu ambil tahu perbincangan di antara Aliff Haikal dengan orang tuanya. Dia percaya pada ketentuan Ilahi. Andai ada jodoh tidak akan ke mana.
            Menjelang Aliff Haikal kembali ke Kuala Lumpur, Syuhada memberanikan diri turut serta bersama ahli keluarganya menghantar rombongan sanak saudara yang jauh itu. Dibuangnya jauh-jauh perasaan malunya yang bersarang dalam hati. Dalam keriuhan suasana sanak saudara bergelak ketawa, Syuhada menyusup keluar dari rumah menuju ke sebuah pangkin di tepi pantai. Dari jauh kelihatan Aliff Haikal setia menunggu.
            “Ingatkan Syuhada dah tak sudi jumpa abang lagi,” kata Aliff Haikal sebaik saja Syuhada berada di situ. Mereka berbalas senyuman. Aliff Haikal sudah membahasakan diri sebagai abang pula.
‘Duhai hati, bertenanglah.’ Syuhada memujuk hatinya yang berdebar kencang sama seperti deburan ombak yang tidak henti-henti menghempas pantai di hadapan mereka.
            “Maaf sebab selama ini Shasha bersikap dingin dengan Aliff, Shasha sebenarnya… sebenarnya…” Syuhada tidak tahu apa yang ingin diperkatakannya. Terlalu pantas masa berlalu.
            “Abang lebih suka nama Syuhada. Nama itu cantik secantik orangnya.” Aliff Haikal memuji pula.
            “Mana-manalah. Tapi family suka nama tu.” Jawab Syuhada menjeling geram. Aliff Haikal tersenyum.
            “Shasha tak perlulah malu dengan abang. Kita dah kenal sejak sekolah lagi. Apa pun keputusan Shasha abang terima dengan senang hati.”
            “Boleh abang tunggu Shasha habis belajar dulu? Shasha dapat tawaran masuk maktab. Shasha tak sanggup sia-siakan peluang yang ada. Lagipun…” belum sempat Syuhada menghabiskan ayatnya…
            “Lagipun Syuhada Sulaiman berbakat besar dalam bidang penulisan.”
Berkerut dahi Syuhada memandang wajah Aliff Haikal yang sedang tersenyum itu.
            “Sejak sekolah lagi abang tak pernah miss untuk tahu aktiviti seni gadis idaman abang.”
            “Ohh… abang pasang spy, ya.”
            “Abang nak Syuhada tahu I still love you for ever.” Alif Haikal berterus-terang. Dipandangnya wajah Syuhada yang kelihatan berubah merah menahan malu.
            So, Syuhada dah terima abanglah ye?”
            Syuhada tidak menjawab dan berlalu.
Malu sungguh dia ketika itu. Dia hilang punca seketika.
“Syuhada…!” laung Aliff Haikal. Wajahnya mengharap sebuah pengertian dari seulas bibir yang merah merekah itu.
Dari jauh Syuhada berkata. “Shasha serah segalanya di tangan emak dan abah untuk buat sebarang keputusan.” Kemudian mereka berdua saling melemparkan senyuman. Di hati masing-masing mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka berdua.


                                    Tamat

0 comments:

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter