SPONSOR

Wednesday, July 11, 2012

Posted by RAIZA KHAIRINA 8:17 PM No comments

HUJAN renyai mula menyimbahi bumi. Seakan-akan turut menangis hiba melihat Batrisya dari pagi melayan sendu sambil menangis tersedu-sedan. Harapan yang pernah dianyam terhadap Sufri mulai surut. Lelaki itu seolah-olah tidak mahu terikat dengan komitmen keluarga.
            Daripada sama-sama bersekolah hinggalah masing-masing telah mempunyai kerja tetap Batrisya merasakan tidak ada kesudahannya menunggu lelaki itu.
            Lantas kerana itu dia membuat keputusan sendiri dan memujuk sendiri rajuknya. Andai ada jodoh tak akan ke mana. Andai tidak ada jodoh dia rela menerima sesiapa saja yang sudi singgah di halaman hatinya. Walhal dalam usia yang semakin menginjak dewasa, dia berhak memikirkan masa depan yang belum pasti hujung pangkalnya.
            Namun tanpa disangka-sangka, sedang hati terguris dengan sikap temannya, hadir seseorang mengetuk pintu hati. Batrisya menerima seadanya. Sebelum membuat keputusan beberapa kali Batrisya memohon kepada Tuhan agar diberi petunjuk. Akhirnya, dia pasrah pada ketentuan takdir. Setelah mengenali hati budi masing-masing Irfan menghantar rombongan meminangnya.

 Enam bulan bertunang, Batrisya melangsungkan perkahwinan dalam suasana yang cukup meriah. Ramai sanak saudara, kenalan jauh dan dekat datang bertandang dengan restu doa mudah-mudahan mahligai yang dibina berkekalan.
            Dan bermula saat itu, Batrisya membuang segala ingatan dan rindu pada Sufri. Seolah-olah lelaki itu telah lama mati dalam hatinya.
            Seminggu bercuti meraikan hari bahagia. Bermakna seminggu jugalah Batrisya telah sah menjadi milik orang. Irfan seorang ahli perniagaan berjaya, manakala Batrisya seorang eksekutif di sebuah syarikat kewangan. Kedua-duanya lulusan universiti dalam bidang yang diminati semenjak kecil.
            Batrisya tersenyum di depan cermin. Dia masih berasakan seolah-olah bermimpi menjadi isteri kepada usahawan muda berjaya. Lagipun Irfan tidak pernah menyatakan kedudukannya sebagai ahli lembaga pengarah termuda sebuah syarikat pembinaan.
            Batrisya masih ingat saat-saat manis diperkenalkan dengan Irfan. Sahabatnya sendiri yang memperkenalkan. Saat itu mereka sedang menikmati minum petang di hadapan tasik.
            Kemudian datang dua pemuda kacak, memperkenalkan diri Irfan dan Halim.
            Irfan merenungnya dan Batrisya terus tunduk. Tidak selesa direnung begitu. Jantungnya berombak kencang. Ah! Kenapa pulak jadi macam ni? Tak pernah pun rasa macam ni. Takkan…? Eh! Janganlah sampaikan aku menyukai dia sudahlah, kata hatinya. Dia cuba berlagak selamba.
            Kedua-dua pemuda itu memesan minuman. Mereka sempat berbual kosong mengisi kesunyian yang mula singgah. Secara tak semena-mena, Irfan bertanyakan soalan yang tak pernah di duga.
            “Awak dah berpunya ke?’
            “Belum, kut? Kenapa tanya saya?”
Sufri. Ah! Lelaki itu semakin menjauh di ingatanku. Dia yang inginkan semua ini. Batrisya menggetap bibir menahan rasa.
            “Tak adalah. Encik Irfan ni pun belum berpunya. Itu saya pastilah.” Halim mencelah. Irfan tersenyum.
            Sebelum beredar mereka sempat berbalas pandangan. Bermula dari detik itu, Batrisya sering menerima panggilan telefon daripada Irfan.
            Baru tiga bulan berkenalan, Irfan sudah berani melamarnya. Saat itu Batrisya hanya tergelak manja. Mungkin Irfan berseloroh.
            “Saya betul-betul sukakan awak.”
            “Iye! So, your girl tak marah?”
            “I tak ada girl friend. Sudikah awak jadi girl friend saya merangkap bakal suri hati saya?” Kelam-kabut sebentar. Bertambah kencang larian jantung Batrisya.
            “Okey! Kalau macam tu, awak dah cukup simpanan? Hantaran RM15,000 serba satu,” jawab Batrisya berseloroh sambil ketawa.
            Dan Batrisya sungguh tidak menyangka seminggu selepas itu rombongan merisik dan meminang datang bertandang ke rumahnya. Ibu dan abah tidak memberi sebarang keputusan. Orang tuanya menyerahkan keputusan di tangannya. Selepas rombongan itu balik barulah Batrisya diberitahu. Terlopong seperti tak percaya tindakan Irfan sejauh itu.
            Besoknya sekembalinya ke pejabat, Batrisya sempat mengunjungi Irfan untuk mendapatkan kepastian.
            “Abang tak pandai nak belok-belok. Nak bermadah jauh sekali. Abang rasakan sudah sampai masanya abang memikirkan tentang masa depan hidup bekeluarga dengan gadis yang abang suka.” Irfan sudah berani membahasakan dirinya abang. Batrisya tertunduk malu.
            “Tapi saya tak sangka gurauan saya itu………….”
            “Terima kasih kerana menerima abang. Cuti raya puasa nanti kita langsungkan perkahwinan,” pantas Irfan menyambung kata-katanya. Batrisya tidak mampu berkata apa-apa lagi. Air mata bagaikan mahu menitis gembira. Saat itu dia terkenangkan Sufri. Bagaimana penerimaan Sufri andai tahu dia sudah bertunang dengan orang lain?
            Sayup-sayup terdengar suara memanggil di luar. Batrisya tersentak dari lamunan yang panjang. Dia melangkah mendekati jendela biliknya. Dari celahan cermin tingkap bilik, kelihatan kelibat Adila masuk ke ruang tamu. Dia mengerutkan dahi. Hairan. Tengah hari itu dia dikejutkan kehadiran teman sekolah.
            “Hai. Apa khabar pengantin baru?” Adila menyapa sambil memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki.
            “Kenapa kau renung aku macam tu? Ada yang tak kena ke?” Batrisya membelek dirinya.
            “Masih berseri-seri. Seri pengantinlah katakan. Ha! Tak merancang pergi honeymoon ke?”
Sebelum sempat Batrisya menjawab, adik lelakinya yang mencelah.
            “Ah! Tak payah susah-susah pergi honeymoon, dalam bilik pun boleh honeymoon,” Khairi memang tahu, Irfan bagai mahu menelan kakaknya apabila memandang kakaknya itu. Almaklum kakaknya itu cantik dan manis, sejuk mata memandang.
            “Eh! Dia pulak yang lebih-lebih. Sekolah belum lepas lagi, tak habis-habis nak menyakat.”
            “Biasalah lelaki. Dah akil baliqh pun adik kau tu.” Khairi ketawa mengekek.
            “Kau tak kerja ke hari ini?”
            “Hari ini kan hari minggu.”
            “Iye tak iye jugak, lupa pulak aku.”
            “Mana suami kau? Tak nampak pun.” mata Adila melilau mencari kelibat Irfan.
            “Dia ke pekan. Katanya nak beli paper.”
            “Eloklah tu. Aku ada sesuatu nak bagi kat kau,” ujarnya, separuh berbisik. Batrisya ingin membawa Adila masuk ke bilik.
            “Eh! Tak payahlah masuk dalam bilik. Buatnya suami kau balik nanti, nahas aku.”
Batrisya mengerutkan dahinya. Nampak benar rahsia yang cuba disembunyikan Adila.
            “Kalau macam tu, kita pergi ke tepi sungai kat belakang.”
Mereka berdua berjalan keluar melewati halaman, seterusnya pokok-pokok bunga yang merimbun. Sekejapan mereka sudah sampai di tepi sungai.
            Adila menghulurkan surat bersampul cokelat.
“Apa ni?” Batrisya terperanjat.
            “Kau bacalah.”
Batrisya melabuhkan punggungnya bersebelahan Adila. Hatinya tidak setenang air sungai yang mengalir di depannya kini. Dia membuat andaian sendiri tentang isi surat itu. Kertas berwarna biru di bacanya.
Gadisku Risya,           
Aku sekadar melapangkan hati dengan menitipkan apa yang terkandung dalam hati. Sekurang-kurangnya hati yang ketandusan kasih sayangmu ini akan tenang setenang air yang mengalir di sungai belakang rumahmu.
            Aku tak menyesal menitipkan rahsia hati di atas kertas biru ini. Aku cuma menyesal kerana tak sempat meluahkan isi hatiku padamu. Cuma ini yang mampu aku buat demi menghilangkan rasa hiba yang menghuni hati.
            Mungkin selepas ini aku akan pergi jauh meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan meninggalkan segala kenangan yang bertaburan di daerah kecil ini. Aku akan kembali dengan kejayaan yang kausandarkan di bahuku. Ya! Aku akan cuba  bangkit dengan kekuatan sendiri. Gadisku.  Sungguhpun kau tidak tahu perihal coretanku ini, aku amat berharap doakanlah untukku. Doakan untuk sahabatmu ini. Di kejauhan sana.
            Aku juga tidak mungkin lupa mendoakan kehidupan barumu bersama sidia. Semoga bahagia selalu. Kebahagiaanmu kebahagiaanku juga. Di kejauhan.
            Selesai membaca isi surat helaian pertama, Batrisya berhenti sambil memandang air sungai yang tenang mengalir. Kemudian dia memandang sekilas wajah Adila di sebelahnya. Kehairanan yang bertapa di hatinya sejak tadi kian terungkai dengan warkah biru di tangannya.
            “Sejak bila abang kau menulis surat ini?” Dia ingin kepastian.
            “Aku tak tahu bila. Semalam masa aku nak mengemas bilik dia, aku terjumpa surat ini di bawah tilam. Aku rasa berhak memberitahu kau. Biar kau maklum dengan isi hatinya selama ini.”
            “Tapi untuk apa, Dilla. Dah terlambat,” ujar Batrisya, cuba melepaskan bebanan perasaan.
            “Aku tak berniat apa-apa, Risya. Aku nak berkongsi rahsia hati abang aku dengan kau. Itu aje. Kau kan sahabat aku,” pujuk Adila meleraikan kekusutan yang mula melanda hatinya.
            Batrisya meneruskan pembacaan pada helaian muka surat kedua.
            Risya,
Barangkali kau tertanya-tanya  status perhubungan kita sepanjang enam  tahun, tanpa kata putus dariku. Namun, perhatian dan sikap ambil beratku rupa-rupanya belum cukup untuk  meyakinkan kau betapa aku mencintaimu.
Bukan niatku untuk merahsiakan perihal hati dan perasaanku. Bukannya aku tak berani. Aku cuba meluahkan isi hatiku melalui sikap keterbukaan dan keprihatinanku selama ini.
               Bagiku,  cinta tak semestinya perlu diucap dengan kata-kata, Risya. Cinta terlalu indah buatku. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Setiap kali bertemu dan bertatapan denganmu, hatiku berdebar-debar semacam. Aku tertanya-tanya sendiri mengapa ia terjadi?
Semenjak kau bertunang dengan si dia aku cuba melupakan hari-hari lalu
yang pernah aku lalui bersamamu.  Sedaya upaya aku pinggirkan segala kenangan itu.
Risya,
            Aku tak mampu membencimu dan juga membuang wajahmu jauh-jauh dari
sudut hati dan perasaanku. Oleh kerana itulah aku ingin membina kembali hidupku
jauh dari daerah ini.
           Batrisya tidak meneruskan pembacaan isi surat itu. Hatinya sebak. Hatinya juga terguris kerana Sufri gagal menyatakan perihal hati dan perasaannya. Selama enam tahun. Batrisya setia pada yang satu. Dalam ramai lelaki yang akrab dengannya, hanya Sufri yang berjaya mencuri perhatiannya.
            “Sukar benar menyelami hati budi lelaki. Ah! Lelaki memang suka melihat
perempuan tertunggu-tunggu,” keluh Batrisya seakan-akan geram dengan sikap Sufri.
            “Kau masih ada hati dengan abangku?” tanya Adila.
“Aku dah jadi isteri orang. Apa yang aku harapkan sekarang kebahagiaan hidup
bersama suamiku. Aku dah lupakan abangmu di hari pertama pertunanganku,”
ujar Batrisya lagi.
            Adila menarik nafas dalam-dalam. Sedikit sebanyak kesalan menghantui
diri kerana gagal menyelami hati dan perasaan abangnya terhadap sahabat
baiknya itu.
Namun, Batrisya juga gagal melarikan diri dari kenangan yang silih
berganti datang mengetuk pintu hati. Masih dia ingat kali pertama mengenali Sufri, dia mendapat surat pertama yang dikirim melalui Adila. Sufri ingin berkenalan dengannya lebih dekat Lagi. Batrisya menerimanya dengan hati terbuka.
            Persahabatan mereka terus mekar dari sehari ke sehari sehingga usia benar-benar menginjak dewasa. Acap kali Batrisya di lamar teman lelakinya yang lain, namun setia Batrisya pada yang satu. Sehinggalah mereka berjaya melanjutkan pelajaran, kasihnya pada Sufri tidak berubah.
            Akhirnya, Batrisya sedar sendiri. Persahabatan dengan Sufri tidak sampai ke mana-mana. Sepanjang perkenalan, Sufri tidak pernah meluahkan perasaannya. Setiap kali Batrisya bertanya, Sufri suka berdalih dan ketawa seolah-olah pertanyaannya itu berupa gurauan.
            Sikap Sufri yang membosankannya itu menguji kesabaran Batrisya. Sehinggalah dia dilamar Irfan, Sufri tetap membisu.
            Dalam kepayahan, Batrisya meneruskan membaca helaian berikutnya. Ingin tahu lebih lanjut sejauh mana kesahihan perasaan Sufri terhadapnya.
Risya gadisku,
            Benar katamu, sahabat tak boleh menjadi kekasih, tetapi kekasih boleh menjadi sahabat. Istilah sahabat dengan kekasih jauh berbeza bagimu saat itu. Semalaman aku memikirkan perbezaan istilah itu  sehinggalah aku menemui jawapannya. Di saat itu kau sudah jauh terbang mengejar impian.
            Syukurlah.  Kau berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Sedangkan aku hanya layak memohon maktab perguruan bagi meneruskan pengajian. Namun, apa pun perbezaan di antara kita, aku tetap menumpang kegembiraan. Ucapan tahniah di antara kita meniti di bibir.
            Biarpun jarak yang agak jauh, cintaku tak pernah berubah. Saban hari aku menganyam impian untuk membina istana bahagia bersamamu. Biarpun sibuk dengan study di UiTM, kau tak pernah lupa mengutus berita untukku. Suratmu jualah yang menguatkan semangatku untuk meneruskan pengajian di maktab perguruan.
            Masih jelas di ingatanku, saat-saat manis persahabatan kita. Aku berjauh hati padamu apabila melihat kau lebih memberi perhatian pada kawan-kawan kita yang lain. Ketika itu kau berjaya menggondol hadiah pemidato terbaik. Begitu juga ketika menjuarai pertandingan catur anjuran sekolah kita.
            Mungkinkah aku cemburu padamu? Entahlah! Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan ini. Kau datang memujuk dan bertanya kenapa aku menyendiri? Apa salahmu padaku? Kau tak salah apa-apa.  Aku cuma ingin mencuri sedikit perhatianmu.
            Hatiku berbunga mekar, kau kembali melayani kerenahku. Tanpa jemu, bosan dan tidak keterlaluan aku katakan di antara kita punya keserasian yang tak mungkin kauperoleh dengan insan lain.
            Ah! Sufri benarkah apa yang kaukatakan ini? Mengapa payah benar untuk kau- meluahkan isi hati kau padaku? Oh Tuhan! Sungguh sukar bagiku mempercayai apa yang ditulis Sufri ini.
            Andainya kau tahu, aku sebenarnya teringin sangat  mendengar dari mulutmu sendiri sejauh mana kau sukakan aku. Tapi, kau seolah-olah tak mahu tahu. Aku memujuk sendiri hati yang terguris. Apa boleh buat, aku seorang perempuan yang tak sanggup dianggap perigi cari timba.
            Bertahun aku menyandar harapan. Hanya setia padamu. Mengharap sesuatu yang tak pasti. Terasa berat beban yang kutanggung. Pada siapa aku berterus-terang. Saat itu aku mendekatkan diri dengan Tuhan, hampir setiap malam aku bangun bersalat Tahajjud mohon ketenangan. Sebab itulah yang diajar ibuku andai dirundung masalah. Aku dah cukup dewasa menilai erti persahabatan. Sudah cukup matang memikirkan yang mana baik, yang mana buruk.
            Tapi, kau Sufri. Buat aku seperti tidak wujud dalam hidupmu. Aku malu sendiri apabila menyangka kau mencintaiku. Mungkin inilah yang dikatakan takdir dan takdir itulah yang menentukan aku denganmu hanya berkesempatan untuk merasai keindahan dalam alam persahabatan. Aku tersenyum dalam duka.
            Ah! Semuanya mampu kukatakan dalam hati. Biarlah Tuhan saja yang tahu. Segalanya dah berlalu. Batrisya melepaskan keluhan berat sambil gerak gerinya diperhatikan Adila yang dari tadi membisu membiarkan dia menghabiskan membaca isi surat yang di tulis oleh saudara kembarnya.
            Tanpa berlengah lagi dia cuba meneruskan membaca biarpun apa yang bakal diketahui nanti hanya mengguris lagi perasaannya. Hanya menggamit kenangan yang sudah lama diusir dari ingatan.
            Memang kuakui dalam isi  suratku lebih berupa janji untuk sama-sama berjaya dalam pelajaran. Tidak langsung membayangkan perasaan cinta yang mekar berbunga di hatiku.
Andai kau merasakan diri dipermainkan atau dipersendakan, aku minta maaf. Percayalah, sedikit pun tidak terniat untuk melukai hatimu. Sungguh Risya, aku menanggung beban rindu yang tak tertanggung.
            Terkedu aku dibuatnya, apabila Adila  memberitahu kau bakal bertunang dengan jejaka pilihan hatimu sendiri. Sungguh, senyuman yang kau lihat di bibirku ini hanya lakonan semata-mata. Akan tetapi, jauh di sudut hatiku Tuhan saja yang tahu.
            Aku terima dengan Reda, kini kau bakal dimiliki  lelaki lain. Jadilah aku seperti pungguk rindukan bulan. Untuk menyintaimu begitu mudah. Tetapi untuk memilikimu bagai pipit dengan enggang.
            Risya. Aku sedar untuk menyesali segalanya tiada gunanya lagi. Sudah ditakdirkan kau dicipta bukan untuk menjadi milikku. Namun  untuk menerima kenyataan itu terlalu sulit aku rasakan.
            Perlahan-lahan aku cuba menerima hakikat persahabatan kita tak semestinya berakhir di jinjang pelamin. Kita hanya ditakdirkan untuk berkawan baik. Kemudian merasai keindahan mencintai orang lain.
            Benarlah kata pujangga, cinta sebelum kahwin belum tentu berakhir dengan perkahwinan. Sudah tertulis di azali, kita ditakdirkan untuk bersahabat. Namun, biar apa pun yang dah berlaku, aku tetap mendoakan kebahagiaanmu dengan suami. Mudah-mudahan kebahagiaan kalian berkekalan.
Risya. Aku puas dapat meleraikan kekusutan fikiran. Lagipun tak guna aku selama-lamanya memendam perasaan. Aku sedar aku hanya insan biasa yang tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Yang baik datangnya daripada Allah, yang buruk datangnya daripadaku.
Risya. Sekali lagi aku mohon kemaafan.
 Batrisya melipat kemas isi surat dan dimasukkan ke dalam sampul. Tangannya yang runcing mengesat air mata yang bergenangan di mata. Pada dasarnya memang dia reda dengan ketentuan Tuhan. Namun, surat daripada Sufri itu sedikit sebanyak mengundang rindu di hatinya. Memang tidak dinafikan. Cintanya masih ada lagi.
‘Ya Allah! Apa dah jadi ni? Berilah aku kekuatan. Biarpun dalam kepayahan, kesulitan dan ketegangan. Sungguh aku pasrah. Mudah-mudahan lelaki yang menjadi suamiku saat ini adalah pilihanku yang tepat.’ Hati kecilnya berbisik.
Saat itu Adila memeluk bahunya dengan erat.
“Maafkan aku. Aku sepatutnya menyimpan saja surat Sufri ni.”
“Tak apa. Aku berterima kasih pada kau. Sekurang-kurangnya aku tahu Sufri sayangkan aku. Aku bersyukur pada Tuhan sebab ramai yang mengasihiku. Contohnya, kasih seorang sahabat,” jawab Batrisya dalam sendunya. Tangannya yang masih merah berinai meraih tangan Adila.
“Nanti katakan pada abangmu, kita masih kawan macam dulu. Tak usah nak segan-segan denganku. Kita dah kenal lama.” ujar Batrisya sambil tersenyum.
“Insya-Allah. Tapi aku tak pasti bila dia balik.”
“Dan kirim salam aku padanya. Emm! Lagi satu, kalau dah jatuh cinta semula, jangan tunggu lama. Terus aje melamar. Nanti melepas lagi,” kata Batrisya sambil tertawa.
Adila juga turut ketawa. Dilihatnya raut wajah teman sekolahnya itu semakin berseri-seri. Dia gembira melihat perubahan itu.

0 comments:

Search

Bookmark Us

Delicious Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter